Saturday, March 27, 2010

Pejuang jamaah jaga akhlakmu

Salam,

Ramai yang duduk dalam jamaah tapi masih ada sifat yang lari dari akhlak seorang pejuang. Mereka merasakan sifat dan tindakan mereka tak bersalahan dengan tuntutan agama.

Maka, lahirlah, mereka yang mengaku pejuang tapi perangai tak macam pejuang Islam. Jadi, marilah kita sama hindari sifat dan akhlak buruk seperti di bawah:

Para pejuang agama Allah hendaklah menjauhi beberapa sifat yang boleh menghilangkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan Islam. Lantaran itu renungkanlah sifat-sifat tersebut untuk dijauhi dalam diri. Antaranya ialah:

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia. BM
Wassalam.

Tuesday, March 23, 2010

Ahli baru PKR sebulan puluh ribu, ahli baru PAS macam mana?

Salam,


Semalam penulis pi dengar ceramah sempena pelancaran " Orang Muda Geng Kita ". Penceramahnya Dato' Zaid Ibrahim, YB Saifuddin Nasution, Ust. Nasa Tantawi dan YB Azan. Kehadiran pun ramai, nampak ramai anak muda yang hadir.

Isi ceramah semua penceramah menarik dan terkini. Penulis tak nak ulas isi ceramah , yang penulis nak ulas berkaitan pertambahan mendadak ahli PKR. Malam tu sahaja semasa majlis ada penyerahan seramai 600 ahli baru PKR untuk Cabang PKR di situ.

YB Saifuddin bagi tahu sebelum kes DSAI masuk mahkamah ahli baru PKR sekitar 15 ribu sebulan, tapi selepas kes DSAI masuk mahkamah ahli baru PKR adalah 40 ribu sebulan. Kenyataan ini dari SU Agung PKR jadi penulis yakin benar.

Kalau ahli baru PKR meningkat sebegitu banyak, macam mana pula dengan ahli baru jamaah meningkat atau setara ja setiap bulan. SU Agung dan PSU jamaah kena jawab ni.

Pelik sikit, malam tu pentas itu adalah pentas jamaah untuk tarik orang muda sertai jamaah. Tapi yang serah ahli baru adalah untuk masuk PKR. Penulis sangka baik mungkin ada anak muda yang masuk ahli jamaah dalam program tu tapi masa lain.

Penulis juga tak salahkan penganjur iaitu pemuda jamaah, bukan salah pemuda tak buat program untuk tarik orang muda. Dah banyak program dibuat, macam2 futsal, memancing, xpdc, aktiviti seni dan program " Orang Muda Geng Kita ".

Namun, ramai anak muda lebih minat PKR dari jamaah, kenapa ?. Sedangkan kalau tengok pemuda PKR, program mereka tak sebanyak program pemuda jamaah. Pimpinan tertinggi jamaah kena fikirkan perkara ini.

Dalam keadaan MP dan ADUN PKR lompat parti, diserang media Ubn hari2. Ahli baru Ubn tak bertambah pun, gah kat media sahaja. Tapi Ahli baru PKR juga bukan berkurang malah bertambah. Namun sepatutnya, ahli baru jamaahlah yang bertambah sebab MP dan Adun jamaah tak lompat parti.

Penulis tidak ada niat buruk nak kritik jamaah, cuma penulis risau dengan suasana ini. Mana tak bimbang kalau anak2 ahli jamaah pun ramai yang masuk PKR.

Penulis puji pimpinan tertinggi jamaah panggil orang luar Dr Abu Hasan Hasbullah dan Dr Aziz Bari kritik dan bagi pandangan tentang jamaah. Resolusi pun dah dibuat untuk perkasakan jamaah, namun adakah resolusi ini telah dilaksanakan?

Penulis tak tahu adakah jamaah seperti dalam tulisan iniatau pun jamaah gagal memanfaatkan media baru yangdiminati anak muda atau pun kerana masih ada pimpinan tertinggi yang minat nak kerjasama dengan Umno yang dibenci anak muda.

Atau pun anak muda melihat pemuda jamaah tak sehebat zaman YB Salehudin, kalau tengok berita ini mungkin anak muda kata pemuda dah sama macam pemuda Ubn takut berdebat.

Tapi betul ka dak berita tu penulis tak pasti kerana kalau lihat sahabat kampus penulis ini bukan jenis takut berdebat.

Tak kiralah apa sebab anak muda tak minat sertai jamaah, yang penting sekarang semuanya pemuda, muslimat, unit amal, nisa' kena bergerak tarik anak muda kembali sokong jamaah.

Wassalam

Wednesday, March 17, 2010

Tunggu pemimpin PAS sanggah kenyataan Mat Sabu

Salam,

Membaca tulisan Abang Mat Sabu dalam Harakah memberi satu semangat kepada penulis untuk terus bekerja dalam jamaah. Kadang2 lemah semangat apabila mendengar cerita perangai segelintir pemimpin jamaah yang buruk dan tidak selari dengan kepimpinan Islam.

Abang Mat menulis dalam kolum Membedah Demokrasi dengan tajuk 'Jangan pemerintah bertukar, amalan rasuah tetap sama'

Antara tulisannya,

Apakah selepas ini ada pula pemberian tender tertentu sama ada balak, kelulusan tanah, premis perniagaan ada pula peruntukan pada PAS, KeADILan atau DAP untuk parti itu menjalankan kegiatan parti mereka. Apakah perlu ada imbuhan pada PAS sama ada atas meja atau bawah meja untuk bangunan dan pembangunan PAS itu sendiri. Kalau peristiwa rasuah yang berlaku dan amalan Umno-BN diulang semula oleh parti-parti Pakatan Rakyat yang memerintah, maka amalan rasuah akan menjadi routine (pusingan)

Jelas ketegasan Abang Mat menentang amalan rasuah yang menjadi barah kepada Umno-BN malah kalau tidak dibendung akan melanda parti-parti dalam Pakatan yang memerintah negeri.

Penulis harap kenyataan Abang Mat disokong oleh pimpinan jamaah yang lain dan penulis yakin ramai pemimpin jamaah yang mempunyai pandangan yang sama macam Abang Mat.

Namun, jika ada pemimpin jamaah yang ada pandangan lain atau mempunyai pandangan bahawa kenyataan Abang Mat tentang definasi rasuah ini salah. Penulis minta pemimpin jamaah menyanggah kenyataan Abang Mat dengan hujah yang mereka.

Penulis tidak mahu dikalangan pemimpin jamaah mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini. Kalau ada pandangan berbeza perlu diselesaikan supaya ahli di bawah tidak keliru.

Jika ikut kenyataan Abang Mat ini, imbuhan untuk parti tidak boleh maka tentulah untuk peribadi lagi tak boleh.

Jika ada pemimpin jamaah yang kata boleh ambil untuk peribadi sila sanggah juga kenyataan Abang Mat ini.

Kenapa penulis minta mereka sanggah? kerana dah ada pandangan bahawa duit komisyen tanah, balak, perniagaan untuk peribadi boleh jika digunakan untuk bagi kepada orang miskin, untuk bagi makan rakyat, untuk bantu anak yatim.

Namun, bagi penulis jika pandangan ini diterima. Maka tak salahlah Umno-BN guna cara yang sama semasa mereka memerintah. Maka tak perlulah jamaah berjuang menentang rasuah dalam Umno-BN kerana ada pandangan sebegini.

Jika salah, apa nak jadi dengan pemimpin jamaah yang dah guna duit komisyen tanah, balak, perniagaan diperolehi secara haram untuk bagi kepada orang miskin, untuk bagi makan rakyat, untuk bantu anak yatim.

Penulis akan tunggu pemimpin jamaah sanggah kenyataan Abang Mat. Jika ada..

Wassalam

Thursday, March 4, 2010

Miskin bukan dibuat-buat

Salam,

Ada hamba Allah yang jumpa penulis suruh cari orang miskin di kampung nak bagi sumbangan. Penulis bersyukur kerana setiap tahun pasti ada yang nak bagi sumbangan kepada orang miskin di kampung. Setiap tahun atas nama cawangan jamaah di kampung, orang miskin akan terima sumbangan.

Mengapa mudah orang nak bagi sumbangan ? kerana berkat jamaah yang menguruskan dan mengagih sumbangan dengan amanah dan telus.

Sebenarnya, ramai umat Islam terutama ahli jamaah yang kerap bagi sumbangan sama ada dalam bentuk zakat, sedekah dan derma.

Namun, kekadang bila sudah banyak yang menyumbang dana sumbangan menjadi besar. Timbul rasa sayang hendak keluarkan dana sumbangan. Buangkan perasaan ini, kerana dana itu bukan hak kita tetapi hak orang yang layak menerimanya.

Penulis ada dengar cerita bagaimana ada Jawatankuasa Masjid yang berbangga sebab dapat kumpul dana yang besar hasil sumbangan orang ramai. Megah lah AJK Masjid masa bentang kewangan dalam mesyuarat agung. Bila tengok aktiviti tidak ada, sebab tu dana boleh simpan banyak. Berbaloikah begitu…

Jika sudah banyak dana keluarkanlah kepada yang berhak, namun jangan pula terlalu mudah dikeluarkan hingga habis langsung dana sumbangan. Jangan takut hendak keluarkan kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pemurah. Insya Allah, akan bertambah kembali dana sumbangan malah berkali ganda banyaknya.

Ada yang berhak menerima sumbangan,. Siapa mereka ? orang fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik dan ramai lagi. Tak perlu tunggu mereka datang meminta-minta, carilah mereka.

Kalau ada yang datang meminta pertolongan. Berilah sumbangan ikut kadarnya. Jangan salahkan mereka, jika mereka datang meminta. Berilah sumbangan sebab dana sudah ada.

Penulis cukup terasa jika dengar cerita orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dilayan dengan tidak sepatutnya terutama di pejabat wakil rakyat. Mereka terlalu berharap tapi mereka pulang dengan hanya mendapat RM 5 atau RM 10.

Malah lebih teruk lagi bila mereka ke pejabat YB meminta pertolongan, tapi pulang kecewa dengan tangan kosong dengan alasan YB tiada peruntukan untuk orang miskin.

Penulis ada dengar cerita, ada wakil rakyat yang buat program rai anak yatim yang datang dari ceruk kampung. Tapi sedihnya mereka hanya menerima RM 5 seorang dari wakil rakyat ini. Duit minyak bawa mereka ke pejabat YB pun tak lepas. Kenapa ada wakil rakyat macam ini, tak boleh fikirkah?

Penulis terkilan kerana semasa kecil penulis pernah merasai betapa peritnya ayah dan emak penulis yang hidup miskin mencari nafkah menyara kami sekeluarga. Bukan ayah dan emak tak berusaha cari nafkah lebih, tapi masih kurang untuk tampung kehidupan kami sekeluarga.

Sebab itu penulis tak setuju bila ada yang tuduh orang miskin tak berusaha dan suka meminta-minta. Tahukah kita mungkin anaknya ramai, ada anaknya sakit kuat, anaknya ramai yang bersekolah, ada anaknya yang cacat.

Walaupun ada antara mereka yang dapat bantuan Pejabat Kebajikan atau Baitulmal, namun RM 100, RM 200 yang mereka terima sebulan cukupkah untuk tanggung anak-anak yang ramai.

Penulis masih ingat, ayah penulis kerja estet motong getah. Walaupun pokok getah ditengelami air sehingga paras lutut, ayah tetap meredah air kerana nak cari duit makan kami di rumah.

Masih dalam ingatan, kerap kali kami makan nasi berkuahkan minyak lauk dan kicap. Selalu makan ikan masin kerana masa tu tak mampu nak beli ikan hidup. Payah sekali nak berjumpa makan lauk ayam dan daging.

Sarapan pagi, hampir setiap hari makan tempe. Walaupun hati merungut, hari-hari makan tempe, tapi itulah yang ada untuk isi perut sebelum ke sekolah. Sesekali emak masak yang lain dari tempe, seronoknya hanya Allah yang tahu.

Apabila ahli keluarga kami bertambah, hasil motong getah tak mampu lagi nak sara hidup kami. Salah seorang adik penulis diserah kepada emak saudara. Walaupun emak bagi tahu sebab emak saudara tak da anak, tapi masa tu kami memang susah.

Ayah mula tanam pisang sebelah petang bila balik dari motong getah. Tanah orang yang ada pokok getah tua nak tanam semula ayah minta usahakan untuk tanam pisang sementara pokok getah nak besar. Lepas tu ayah berhenti kerja di estet , motong getah orang pula di kampung.

Kami adik beradik kena tolong ayah, yang sekolah petang kena motong getah, mengutip susu getah, kutip getah skrap. Yang sekolah pagi, balik sekolah terus kena pi mesin getah, jemur getah kemudian kena pi kebun pisang.

Banyak kerja di kebun pisang yang kena buat, tarah anak pisang, buang daun pisang, masa nak jual pisang kena tanggung bertandan pisang.

Oleh kerana ayah ada bela beberapa ekor lembu dan kambing, dah jadi tugas harian kami , jaga kambing, pergi bawa lembu tambat di estet, kemudian pi ubah pula lembu itu ke tempat yang ada rumput.

Disamping pisang ayah juga tanam jagung, ubi keledek, kacang tanah. Penulis masih inggat, penulis junjung besen jagung rebus keliling kampung jual dengan harganya 10 sen setongkol.


Kadang2 cemburu dihati, tengok kawan2 anak orang kampung dapat main tapi kami kena pi kebun. Cuti Sabtu Ahad pun kena berjumpa pokok getah dengan pokok pisang.

Ayah pula tegas, garang tapi tak pernah pukul. Hanya dengan suara boleh dengar orang keliling, orang kata dengar satu kampung. Bila ada yang tak pergi kebun, balik sahih kena marah.
Syukurlah rezeki berkebun pisang murah, ayah cari tanah orang lain yang nak tanam getah semula untuk tanam pisang.

Sekarang, Allah telah balas susah payah ayah dan emak besar dan sekolahkan kami dengan anak-anak yang berjaya. 6 dari 10 anaknya menjejak menara gading malah abang penulis adalah anak kampung pertama masuk U.

Kakak sulung dan abang yang tua bukan tak pandai tapi mereka bersekolah dan hidup dalam masa keluarga kami yang susah. Merekalah yang paling dapat rasa peritnya hidup susah dibanding adik beradik yang lain.

Memang sedih hidup susah, bila ingat kembali menitis air mata. Orang yang tak pernah rasa hidup susah tak akan tahu peritnya. Sebab itu bila tengok orang miskin, penulis dapat rasa kesusahan mereka. Bukan mereka buat2 tapi itulah kehidupan mereka.

Mereka tidak akan ke pejabat YB kalau mereka tidak betul2 memerlukan. Siapa sanggup malukan muka pergi meminta sumbangan di pejabat YB?. Mereka sanggup malu kerana keadaan mereka memang terdesak.

Jadi tidakkah ada simpati dari mereka yang dipilih oleh rakyat untuk mereka. Apa perasaan mereka bila mendengar alasan tiada peruntukan untuk bantu mereka sedangkan di luar pejabat ada kereta mewah yang menjalar.

Tidakkah akan terdetik di hati mereka perasaan kecewa kerana orang yang mereka pilih untuk membantu mereka sama sahaja seperti wakil rakyat lepas2. Dulu berkereta biasa, dah jadi YB tukar kereta mewah .

Apa pula perasaan mereka apabila YB mereka sanggup belanja besar untuk program yang ada nama, tetapi apabila mereka ke pejabat YB mohon sumbangan. Jawapannya “ YB tak da peruntukan untuk orang miskin, Mak Cik pi Pejabat Kebajikan minta kat sana” . Fikirkanlah

Wassalam